Sunday, November 9, 2008

Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO

Pemuda Lancar SMS Bantu Masyarakat
Posted on Wednesday, October 15 @ 10:14:07 MYT


Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur –- Pemuda UMNO semalam melancarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memudahkan orang ramai yang berdepan dengan sebarang masalah menyalurkan masalah mereka bagi mencari jalan peyalesaian sebaik mungkin.

Khidmat tersebut yang diusahakan oleh Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat pergerakan itu akan mula beroperasi Isnin depan.

Pengerusi Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata langkah itu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat daripada orang ramai selepas sekretariat itu menyediakan perkhidmatan melalui talian bebas tol 1-300-88-1113.

Menurut beliau sambutan dan keyakinan orang ramai terhadap khidmat bantuan sekretariat itu semakin meningkat dengan menerima sekurang-kurang 30 laporan sehari membabitkan pelbagai jenis kes.

”Orang ramai boleh menghantar SMS itu dengan menaip Azeezputera taipkan aduan dan hantar ke 36553. Khidmat ini terbuka kepada seluruh masyarakat tanpa sebarang ‘pilih bulu’ dan bukan untuk etnik tertentu saja.

”Kita akan teliti sebarang aduan yang diterima menerusi SMS berkenaan dan SMS itu akan dihantar ke lima sistem pangkalan data berasingan secara serentak yang setiap satunya dipantau petugas biro berkenaan untuk tindakan susulan”, katanya .

Tambahnya lagi sehingga hari ini, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 70 kes, termasuk 20 yang serius seperti menjejaki dan menyelamatkan anak pengadu yang dilarikan ke luar negara.

“Ini membuktikan kami amat komited dan serius bekerja demi UMNO. Keikhlasan kami berkhidmat kepada rakyat akan menarik sokongan, kepercayaan dan keyakinan mereka kepada parti dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan,” katanya pada pelancaran SMS itu di sini, semalam.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Biro Putera UMNO seterusnya berkata sejak 2004 lagi biro itu juga berjaya membantu kira-kira 5,000 pemuda Melayu kebanyakannya mat rempit, melalui program peluang kedua kepada mereka memperbaiki hidup serta berjaya.

”Menerusi program itu mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran di kolej komuniti dan lebih 1,000 daripada mereka kini berjaya mendapat pekerjaan, termasuk di syarikat automotif dan hotel terkemuka.

”Walaupun usaha mendekati mat rempit itu mendapat banyak kritikan serta menimbulkan pelbagai kontroversi sebelum ini, ia sudah semakin diterima baik masyarakat”, katanya.

No comments: